Pada hari Selasa lepas, pengasas Kertas Gais telah mengadakan mesyuarat bersama para ejen dan stokis. Tetapi apa yang saya mahu highlight dalam catatan ini ialah pesanan yang dikongsikan oleh Dai' Izhar Nazri dalam mesyuarat tersebut.
Kandungan
1. Betulkan niat, kenapa kita berniaga?
2. Peniaga ialah antara orang yang dimuliakan Allah
4. Buat perniagaan secara berjemaah
5. Dengan asbab kita berniagalah kita boleh pupuk kasih sayang
6. Buat perniagaan untuk mengelak riba
1. Betulkan niat, kenapa kita berniaga?
Bila kita berniaga, kebanyakan daripada kita akan niat berniaga kerana mahu duit atau mahu kaya. Malah, ada yang solat Dhuha supaya murah rezeki dan jualan laku. Namun, jika kita buat solat Dhuha dan amalan-alaman lain semata-mata niat mahu duit, maka rugilah kita.
Salahkah niat membuat amal ibadah supaya jualan laku?
Tidak salah, namun rugilah jika kita membuat amalan dan solat Dhuha semata-mata untuk mendapat duit kerana Allah mampu memberi lebih daripada itu. Ada orang yang banyak duit tetapi dia tidak dikurniakan kesihatan yang baik, anak-anak tidak taat, dan sebagainya. Apa kata kita buat amalan untuk mendapat redha Allah?
Petikan yang saya paling suka dari sesi bersama Dai' ialah ini:
Jangan memperalatkan agama untuk duit, tetapi memperalatkanlah perniagaan kita kerana Allah.
Maksudnya, kita boleh berniat untuk membuat perniagaan untuk mendekatkan diri kepada Allah.
2. Peniaga ialah antara orang yang dimuliakan Allah
Maknanya, Allah lebih suka pada orang yang berusaha untuk mendapat pendapatan daripada orang yang meminta-minta pada orang lain. Jadi, bila kita berusaha untuk mencari ilmu untuk membuat perniagaan dan melertakkan pergantungan kepada Allah, insya Allah usaha kita tidak sia-sia. Sebab kenapa? Kerana kita cuba untuk mencari pendapatan sendiri daripada meminta-minta.
3. Suka memberi (bersedekah)
Pemberian yang terbaik adalah pemberian dengan ahli keluarga.
Bila di padang mahsyar, ada satu ayat yang orang di padang mahsyar berkata yang Allah rakamkan dalam surah As-Sajdah ayat 13;
وَلَوْ تَرَىٰٓ إِذِ ٱلْمُجْرِمُونَ نَاكِسُوا۟ رُءُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَآ أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَٱرْجِعْنَا نَعْمَلْ صَـٰلِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ ١٢
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin".
Manusia bila diminta kembali ke dunia, antara amalan yang mereka mahu buat ialah bersedekah kerana manusia boleh mendapat pahala yang berganda dengan bersedekah (dengan ikhlas). Jadi, kita digalakkan menggunakan pendepatan yang kita dapat daripada hasil perniagaan dengan bersedekah.
Jika kita mudahkan urusan orang, maka Allah akan memudahkan urusan kita.
4. Buat perniagaan secara berjemaah
Maksud ayat ini ialah kita lebih afdal jika buat perniagaan secara berkumpulan. Bila saya dengar bahagian ini, saya teringatkan kata-kata kartunis Nana yang dia sering katakan bila saya tanya macam mana untuk memasuki pasaran seni ini. Nana selalu sebut antara cara untuk bertahan dalam industri seni ialah sentiasa berhubung dengan ramai orang. Berhubung dengan kartunis otai seperti Ujang, berhubung dengan peniaga lain yang berlainan niche dengan kita, berhubung dengan orang-orang dari pelbagai bidang... Kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh Nana telah membuktikan bahawa bergerak dalam berkumpulan lebih baik daripada bersendirian.
5. Dengan asbab kita berniagalah kita boleh pupuk kasih sayang
Nabi diturunkan bukan untuk mengajar solat dan sedekah sahaja, tetapi Nabi diturunkan untuk mengajar mengenai kasih sayang.
Bagaimana dengan kasih sayang kita membuat perniagaan?
Bayangkan dua situasi ini. Penjual pertama membalas mesej pelanggan dengan endah tak endah dan sambil lewa, manakala penjual kedua membalas mesej pelanggan dengan ikhlas dan kasih sayang. Selalunya, orang yang berniaga dengan kasih sayang inilah yang lebih mudah mendapat jualan.
Orang tu memang tak kenal kita, tapi hati dia boleh rasa hati kita.
6. Buat perniagaan untuk mengelak riba
Bila kita membuat perniagaan, kita boleh mengelak riba dan berhutang. Siapa saja yang tidak mahu membeli rumah dan kereta secara tunai? Kita jika boleh mahu mengelak daripada berhutang dengan bank dan ''along'. Jadi insya Allah, dengan melakukan perniagaan, kita boleh mengelak perkara ini.
قَالَ إِنَّمَآ أُوتِيتُهُۥ عَلَىٰ عِلْمٍ عِندِىٓ ۚ أَوَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّ ٱللَّهَ قَدْ أَهْلَكَ مِن قَبْلِهِۦ مِنَ ٱلْقُرُونِ مَنْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُ قُوَّةًۭ وَأَكْثَرُ جَمْعًۭا ۚ وَلَا يُسْـَٔلُ عَن ذُنُوبِهِمُ ٱلْمُجْرِمُونَ ٧٨
Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).
Semoga catatan ini bermanfaat!
0 comments